Alienum phaedrum torquatos nec eu, vis detraxit periculis ex, nihil expetendis in mei. Mei an pericula euripidis, hinc partem.

Menghormati Pegangan Muslim dalam Isu Bon Odori

Alhamdulillah, semenjak kemerdekaannya pada tahun 1957, negara kita Malaysia telah belajar hidup dengan berbilang bangsa dalam harmoni, aman dan damai. Semua bangsa dan agama mengamalkan sikap toleransi yang baik dan menghormati kepercayaan kaum masing-masing. Meskipiun Islam adalah agama rasmi negara kita, namun ini tidak menghalang setiap kaum untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka serta menyambut hari lebaran masing-masing.

Ini kerana Islam sentiasa menjaga hak-hak penganut agama lain dan tidak pernah menyuruh mereka memeluk agama Islam secara paksaan.

Namun akhir-akhir ini, seperti apa yang berlaku dalam isu sambutan Bon Odori, umat Islam di Malaysia merasakan nilai-nilai Islam seolah-olah dicabar oleh mereka yang bukan Islam. Adakah wajar pihak yang bukan Muslim campur tangan dan mempersoalkan garis panduan yang diberikan khusus untuk umat Islam tentang sambutan tersebut?

Bagi ahli ilmu dan pakar dalam bidang agama, mereka mengalas tanggungjawab yang besar dalam memberi panduan kepada umat Islam terutamanya. Selepas kajian dan penyelidikan yang mendalam, panduan dan hukum-hakam dikeluarkan oleh institusi-institusi Islam, baik dari pihak kerajaan mahupun NGO bagi kaum Muslimin terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak jelas hukumnya, agar mereka sentiasa hidup di dalam panduan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Merujuk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Baginda menyeru agar semua membuat kaji selidik yang mendalam tentang perayaan ini. Jadi setelah kaji selidik dan perkongsian dari kenalan berbangsa Jepun, memang tidak dinafikan bahawa sambutan ini berasal dari kepercayaan memperingati roh-roh nenek moyang mereka dan kini ia sudah berevolusi menjadi perayaan tarian yang memfokuskan pergerakkan kaki, di mana hentakkan kaki tersebut adalah sebuah ritual ditujukan kepada roh-roh agar mereka dapat mencari jalan pulang.

Berkenaan tajuk keharmonian dalam Islam, Islam mengalu-alukan semua jenis adat dan warisan bangsa yang baik selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip dan aqidah Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Kafirun, ayat 6:

وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ

 

“Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,”

Inilah pendirian seorang Muslim, kita tidak memandang ke timur atau ke barat, atau pendapat yang tertentu. Pegangan seorang Muslim adalah berteraskan apa yang Allah perintahkan dan apa yang Rasulullah ﷺ tunjukkan.

Mungkin ada sesetengah orang Islam yang membolehkan sambutan ini. Namun, kita tidak melihat kepada orang Islam sebagai hujjah. Amalan seorang Muslim tidak semestinya sempurna, akan tetapi agama Allah, Islam merupakan agama yang telah sempurna. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

 

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Aku redha Islam itu jadi agama bagimu.”

Bagi sesiapa yang ingin berkata atau mengulas tentang hal ehwal dan hukum-hakam Islam, mereka hendaklah mempelajari dan mengambil Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai panduan.

Kesimpulannya, harapan kami umat Islam di Malaysia adalah kita saling hormat-menghormati pegangan masing-masing dan menghormati institusi Islam sebagai agama rasmi negara ini, dan juga agar tidak mencetuskan kontroversi di antara rakyat berbilang bangsa